Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima banyak aduan dan pertanyaan berhubung beberapa entiti seperti Interfaith Commission (IFC) atau Suruhanjaya Antara Agama, Persatuan Melayu Kristian, Pertubuhan Melayu Murtad dan seumpamanya yang kewujudan entiti-entiti tersebut dikatakan telah berdaftar secara sah. Perkara ini telah tersebar secara meluas dalam media-media sosial yang sekaligus mengundang kebimbangan dan keresahan masyarakat Muslim kerana ia boleh mengancam kedudukan Islam serta menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Jakim telah membuat semakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Kementerian Dalam Negeri, dan dimaklumkan bahawa entiti-entiti tersebut tidak berdaftar. Jakim juga telah mendapati isu ini telahpun timbul beberapa tahun lalu dan ditimbulkan semula berulang kali dalam media-media sosial.
Cadangan penubuhan IFC ini telah dibincang dan dibantah oleh banyak pihak, termasuklah Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri.
Berkenaan pertubuhan yang dikaitkan dengan orang Melayu murtad pula, jika dilihat kepada laman kumpulan facebook (facebook group page) atau laman blog, kumpulan yang mempromosikan gerakan murtad telah lama bertapak dan semakin berkembang. Isu ini telah lama berlegar di media sosial, cuma sejak kebelakangan ia semakin hebat dibincangkan.
Seperti yang telah diketahui, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai bidang kuasa terhadap perkara ini. Jakim dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa bekerjasama dengan SKMM bagi menangani isu-isu seperti ini bagi memelihara kesucian Islam dan membendung umat Islam daripada terjebak dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam.
Jabatan ini berharap dan ingin memberi nasihat kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada terhadap isu-isu seperti ini dan dapat memberikan bantuan dengan menyalurkan maklumat sekiranya timbul sebarang keraguan atau kemusykilan. Bersama-samalah kita menjaga kesucian agama Islam dan keharmonian hidup bermasyarakat di negara yang kita cintai ini.
DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
9 Oktober 2014

No comments:
Post a Comment